Friday, August 29, 2008
TEKNOLOGI KOMUNIKASI DAN PEMILIKANNYA

Apabila memperkatakan tentang teknologi komunikasi dan demokrasi kita tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan konsep pemilikan iaitu siapakah yang memiliki dan menguasai teknologi komunikasi atau dalam konteks ini media massa.

Terdapat dua jenis pemilikan media massa di Malaysia iaitu pemilikan oleh kerajaan dan pemilikan oleh golongan kapitalis. Sebagai contohnya; Radio Televisyen Malaysia (RTM) dimiliki secara langsung oleh pihak kerajaan. Manakala, media massa swasta dimiliki oleh golongan kapitalis. Contohnya; TV3, NTV7, 8TV dan TV9, Radio Hot FM dan Fly FM dimiliki oleh Media Prima Berhad. Begitu juga dengan Astro yang beroperasi di bawah MEASAT Broadcast Network Systems iaitu anak syarikat Astro All Asia Networks plc, sebuah syarikat konsortium rangkaian kerajaan dan syarikat swasta. Manakala, media cetak iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! dimiliki oleh Kumpulan Utusan (M) Berhad. New Strait Times Press yang di bawah Media Prima pula memiliki Berita Harian, Harian Metro, New Strait Times (NST) dan Malay Mail. Begitu juga dengan media-media massa yang lain yang dimiliki oleh golongan kapitalis. Walaupun media massa swasta dimiliki oleh golongan kapitalis namun hakikatnya ia mempunyai perkaitan dengan kerajaan menerusi pemilikan tidak langsung iaitu pemilikan ekonomi serta kawalan undang-undang. Sebagai contohnya; Media Prima Berhad adalah dimiliki oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Manakala, MRCB adalah di bawah Khazanah Nasional iaitu satu organisasi yang dimiliki oleh kerajaan. Khazanah Nasional juga merupakan antara pemegang syer utama Astro All Asia Networks. Begitu juga halnya dengan Kumpulan Utusan yang merupakan ’sayap kiri’ UMNO. MCA pula pemegang saham terbesar The Star, Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. MIC pula memiliki Tamil Nesan. Itu adalah sebahagian daripada keadaan yang menunjukkan bagaimana media massa di Malaysia ini dimiliki oleh pihak kerajaan dan golongan kapitalis yang dominan. Secara keseluruhannya kesemua media massa adalah di bawah kawalan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Pemilikan media massa oleh kerajaan sama ada pemilikan langsung, tidak langsung serta menerusi kawalan undang-undang jelas mencacatkan sistem demokrasi dimana ia akan menghalang teknologi komunikasi untuk berfungsi sebagai medium demokrasi kepada masyarakat. Ini kerana pemilikan oleh kerajaan ini menyebabkan kebebasan pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat akan tersekat sekaligus menyebabkan masyarakat tidak mampu untuk mendapatkan maklumat yang pelbagai dari pelbagai pihak serta dinafikan hak untuk menyuarakan pendapat menerusi media massa. Manakala, amalan sistem kapitalisme dimana golongan kapitalis menguasai sistem teknologi komunikasi menyebabkan ketidakseimbangan dan ketidaksamaan peluang dan akses untuk menggunakan teknologi komunikasi di kalangan masyarakat. Golongan berkepentingan dan golongan atasan lebih mempunyai peluang untuk mengakses teknologi komunikasi berbanding masyarakat kebanyakan yang terus terpinggir dan tidak mendapat apa-apa manfaat daripada perkembangan sistem teknologi komunikasi. Golongan kapitalis juga mengeksploitasi teknologi komunikasi untuk kepentingan masing-masing dan berorientasikan keuntungan yang sekaligus menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pada hari ini terdapat pelbagai medium teknologi komunikasi yang menyampaikan maklumat yang berbeza serta mempunyai corak dan genre media yang juga berbeza. Namun, ia tidak mencukupi dan bermakna apa-apa kerana kawalan kerajaan dan golongan kapitalis ke atas teknologi komunikasi menafikan hak masyarakat umum untuk memanfaatkan teknologi komunikasi untuk kepentingan semua lapisan masyarakat.

Pihak pemerintah pula tidak cuba untuk melakukan sesuatu dalam memperbaiki kepincangan yang berpunca daripada pendominasian golongan kapitalis ke atas teknologi komunikasi yang jelas membelakangkan kepentingan masyarakat umum. Sebaliknya, mereka membiarkan saja keadaan tersebut berterusan dan dalam masa yang sama terus mengawal teknologi komunikasi menerusi pemilikan langsung, tidak langsung dan menerusi undang-undang untuk memastikan teknologi komunikasi berfungsi dan menjaga kepentingan mereka semata-mata.

Sistem kapitalisme yang sepatutnya memanfaatkan kewujudan teknologi komunikasi untuk pembangunan dan kelestarian masyarakat keseluruhannya jelas gagal untuk dijana sebaliknya golongan kapitalis yang mendominasi teknologi komunikasi mengeksploitasi teknologi komunikasi untuk kepentingan masing-masing serta pihak berkepentingan. Tanggungjawab kepada masyarakat langsung tidak dipedulikan. Sehingga ke hari ini masih belum ada lagi manfaat yang besar telah dilaksanakan oleh mereka kepada masyarakat menerusi teknologi komunikasi. Sebaliknya, mereka terus mengskploitasi media massa untuk mengaut keuntungan dengan melimpahkan ruangan media massa dengan berita dan kandungan hiburan, seks, sensasi dan kandungan lain yang boleh dijual. Mereka pula terus ’bias’ kepada pihak kerajaan kerana bimbang ditarik balik permit pengoperasian yang akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengaut keuntungan. Tidak dinafikan bahawa operasi teknologi komunikasi membantu meningkatkan ekonomi negara. Namun, siapa yang mendapat manfaat darinya? Sudah tentu golongan kapitalis itu sendiri, pihak berkepentingan dan juga pemerintah. Manakala, tiada apa yang perlu diperkatakan lagi tentang pemilikan kerajaan ke atas teknologi komunikasi kerana ia jelas membelakangkan amalan demokrasi. Media massa yang dimiliki oleh kerajaan sama ada secara langsung, tidak langsung dan menerusi kawalan undang-undang menyebabkan kandungan media massa terus bermanfaat kepada pihak kerajaan sahaja. Ia sekaligus menafikan hak rakyat untuk mendapatkan kepelbagaian maklumat daripada pelbagai pihak.

Hakikatnya, pemilikan oleh kerajaan dan golongan kapitalis ini jelas menggagalkan teknologi komunikasi untuk muncul sebagai medium demokrasi kepada masyarakat. Keadaan ini akan berterusan seandainya golongan kapitalis terus mengutamakan kepentingan masing-masing untuk mengaut keuntungan dan mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat keseluruhannya. Begitu juga, keadaan ini akan bertambah parah seandainya pihak pemerintah terus menyalahgunakan kuasa yang mereka miliki dengan menggunakan teknologi komunikasi untuk manfaat mereka semata-mata dan tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk memiliki teknologi komunikasi.



Posted by halcyon team at 10:11 PM