Sunday, August 24, 2008
MEDIA MASSA DAN PENYALAHGUNAANNYA


Berbicara tentang soal penyalahgunaan media massa, siapakah yang menyalahgunakan media tersebut? Rakyat atau pihak pemerintah?

Pelbagai perundangan digubal bagi mengawasi operasi media cetak dan media penyiaran di negara kita. Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Penyiaran, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pelbagai undang-undang digunakan sewenang-wenangnya yang menghalang media massa berfungsi secara bebas.

Siapakah yang mencipta undang-undang tersebut? Pastinya pihak kerajaan. Jadi amat jelas pihak pemerintahlah yang menyalahgunakan media massa.

Melalui undang-undang inilah kerajaan terus bermaharajalela dengan menghukum mana-mana media yang menyiarkan berita yang mengkritik kerajaan dengan alasan yang amat menjengkelkan – BOLEH MENGANCAM KEAMANAN NEGARA. Di atas kertas Malaysia memang sebuah negara demokrasi. Namun, secara praktisnya TIDAK SAMA SEKALI.

Penyalahgunaan ini menghalang hak-hak rakyat untuk menyampaikan pandangan secara bebas dan mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu isu. Sebaliknya media menjadi medan kepada kerajaan untuk menyebarkan ideologi demi memperkukuhkan kedudukan politik di Malaysia.

Penyalahgunaan ini semakin teruk berlaku apabila menjelangnya pilihanraya. Pihak kerajaan dengan rakusnya menggunakan media massa untuk menyebarkan propaganda dalam mempengaruhi rakyat. Mereka tidak kisah jika rakyat berpecah belah asalkan kepentingan mereka terjaga. Rakyat yang inginkan gambaran sebenar tentang situasi yang berlaku dinafikan hak-hak tersebut apabila media massa dengan mudahnya memperkotak-katikkan rakyat dengan cerita rekaan.

Manakala, akhbar alternatif yang diterbitkan oleh pihak pembangkang atau pihak berkecuali amat susah untuk beroperasi dengan lancar. Harakah dan Suara Keadilan sebagai contoh perlu melalui prosedur yang amat melecehkan dan diberikan kawalan yang sangat ketat serta boleh ditarik balik permit penerbitan bila-bila masa sahaja oleh KDN. Inikah keadilan dan ketelusan yang kononnya ditegakkan oleh kerajaan Malaysia?

Sememangnya amat bahawa jelas penyalahgunaan media massa sedang berlaku di Malaysia. Tetapi yang menyalahgunakannya bukanlah rakyat sebaliknya pihak pemerintah yang menguasai negara. Penyalahgunaan ini jelas adalah satu pencabulan terhadap sistem demokrasi yang menafikan kebebasan rakyat dalam bersuara.



Posted by halcyon team at 9:35 PM