Sunday, August 31, 2008
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG KE ATAS TEKNOLOGI KOMUNIKASI


Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Penerbitan dan Media Cetak, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah antara akta yang digubal oleh kerajaan yang sekaligus menyekat kebebasan media massa di Malaysia. Alasan yang diberikan oleh kerajaan iaitu demi menjaga keselamatan negara adalah retorik semata-mata. Hakikatnya, akta-akta tersebut bertujuan untuk memastikan media massa tidak memaparkan maklumat negatif tentang mereka

Disebabkan penguatkuasaan undang-undang ini, media massa tidak mampu berfungsi sebagai penyalur maklumat yang tepat kepada masyarakat. Hal ini kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tidak telus. Setiap artikel yang akan diterbitkan harus menjalani beberapa tapisan supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak akan menimbulkan perkara-perkara yang negatif tentang kerajaan. Situasi ini menunjukkan bahawa wartawan masih terikat dengan undang-undang dan dikawal daripada memberi maklumat yang sebenar kepada masyarakat. Jika terdapat wartawan yang melanggar batasan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti ISA.

Kita seringkali mempersalahkan wartawan apabila melanggar etika kewartawanan yang perlu diikuti dan gagal menjadi suara rakyat. Kita terlupa untuk bertanya, adakah itu pilihan mereka atau mereka terpaksa membuat pilihan itu lantaran undang-undang yang mengongkong mereka? Kita tidak boleh menghukum wartawan kerana selagi penguatkuasaan undang-undang berterusan selagi itulah wartawan tidak berupaya berfungsi secara ideal untuk masyarakat sejajar dengan etika kewartawanan yang seharusnya menjadi pegangan setiap pengamal media.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa terdapat juga kandungan media yang bersifat terbuka Contohnya; kes Dato’ Mukhriz mendesak Perdana Menteri meletak jawatan dipaparkan di media arus perdana. Namun begitu, peratusannya adalah amat kecil. Hakikatnya, trend media arus perdana hari ini adalah memaparkan maklumat yang ’bias’ kepada pemerintah. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana semua ini terjadi dek undang-undang yang terus merajai media massa di Malaysia.

Bagaimana pula dengan penguatkuasaan undang2 ke atas media baru terutamanya internet? Sejauhmanakan keberkesanannya?

Internet dilihat sebagai media alternatif terbaik untuk medium demokrasi yang lebih terbuka. Kerajaan telah menetapkan bahawa tiada penapisan internet yang diperkenalkan dalam Rang Jaminan. Namun begitu, undang-undang tetap dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu/kumpulan yang dilihat mampu mengancam Negara menerusii penggunaan internet menuurut interpretasi pihak kerajaan. Lihat saja, apa yang terjadi kepada blog Malaysia Today yang ditutup oleh kerajaan dan kepada pemliknya sendiri iaitu Raja Petra.

Cuma penguatkuasaan undang-undang ke atas internet tidak berapa berkesan kerana sifat internet itu sendiri iaitu bersifat virtual, ketanpanamaan, terbuka dan luas serta susah untuk mengesan individu yang menggunakan internet. Faktor-faktor inilah yang menjadikan internet sebagai ruang demokrasi yang lebih baik di kalangan rakyat berbanding media massa.

Kesimpulannya, penguatkuasaan undang-undang ke atas teknologi komunikasi tidak seharusnya berlaku kerana ia jelas bertujuan untuk menjaga kepentingan pihak kerajaan semata-mata. Undang-undang ini menyekat kebebasan teknologi komunikasi dan mencabul hak asasi manusia. Media seharusnya berfungsi secara telus untuk semua bukan pihak tertentu sahaja. Namun dalam pada itu, undang-undang masih perlu dikuatkuasakan tetapi ia bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang telus tetapi digunakan untuk menghalang pengamal media terutamanya wartawan serta masyarakat keseluruhannya daripada menyalahgunakan media untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu.



Posted by halcyon team at 3:27 AM