Sunday, September 7, 2008
PORTAL BERITA ONLINE


Menerusi internet, terdapat pelbagai portal berita online yang dibangunkan oleh individu dan organisasi. Di Malaysia, portal sebegini menyalurkan berita terkini yang berlaku terutamanya isu politik. Pastinya, portal ini adalah merupakan alternatif kepada masyarakat untuk mendapatkan berita berbanding cara lama iaitu menerusi media massa. Perkhidmatan ini semestinya mudah, senang dan cepat diperolehi. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan sesuatu maklumat itu dengan hanya melayari portal-portal yang disediakan.

Portal-portal yang wujud mungkin dapat diketegorikan kepada 3 jenis iaitu berpihak kepada kerajaan, pihak pembangkang dan dimiliki oleh pihak neutral. Mungkin juga, portal diwujudkan sebagai adaptasi maklumat daripada suratkhabar kepada aliran maya. Ramai yang percaya bahawa portal berita online yang dibangunkan oleh pihak neutral seperti MalaysiaKini.com lebih telus berbanding portal yang dikeluarkan oleh pihak yang berkepentingan. Namun, persoalannya, sejauhmanakah ketelusan tersebut atau ia hanya andaian semata-semata?

Portal-portal yang wujud juga ada kelemahannya di mana kebanyakkan berita yang dikemukakan adalah berkenaan politik dan ini menyebabkan isu lain agak terabai contohnya isu berkaitan pembangunan dan sosial yang penting kepada rakyat. Selain itu, perbezaan maklumat yang dikemukakan oleh portal yang berbeza mengenai sesuatu isu, boleh mengelirukan masyarakat. Masyarakat pelulah menilai secara kritis sebelum mempercayai sesuatu maklumat yang dikemukakan.

Adakah portal berita online menggalakkan penyampaian maklumat yang lebih telus kepada masyarakat berbanding media massa?

Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu menilai secara menyeluruh terhadap jenis portal berita online yang wujud. Sememangnya tidak dinafikan bahawa kewujudan portal yang beroperasi secara neutral seperti Malaysiakini.com memberikan maklumat yang berbeza daripada apa yang dipaparkan oleh media arus perdana. Namun, ia tidak bermaksud bahawa maklumat tersebut telus sepenuhnya kerana portal sedemikian juga dibangunkan oleh individu tertentu yang tetap terdorong untuk ’bias’ kepada sesuatu pihak. Apatah lagi portal yang diterbitkan oleh pihak kerajaan dan pembangkang yang pastinya memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa portal berita online lebih telus berbanding berita di media massa kerana kedua-duanya ada kecenderungan untuk bias kepada pihak tertentu. Cuma, kewujudan portal berita online boleh menjadi alternatif kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang cepat, terkini dan dari perspektif yang berbeza. Populariti portal bertia online juga sebenarnya adalah satu cara protes yang ditunjukkan oleh masyarakat lantaran media arus perdana yang jelas mengikut telunjuk pihak kerajaan. Selebihnya kita haruslah menilai segala maklumat yang dikemukakan secara rasional dan kritis sebelum mempercayainya.


Posted by halcyon team at 6:18 PM