Sunday, October 5, 2008
FENOMENA BLOG

Blog kini telah menjadi satu fenomena baru dalam komuniti masyarakat di Malaysia bahkan seluruh dunia. Ciri-ciri blog itu sendiri menjadi pemangkin kepada perkembangan blog. Hal ini dibuktikan dengan ciri bebas yang membolehkan sesiapa sahaja mempunyai blog sendiri. Kebebasan juga memberikan satu ruang sosial kepada semua pihak untuk memberikan apa-apa pandangan dalam satu-satu blog.

Ciri ketanpanamaan iaitu identiti pemilik blog dilindungi menggalakkan lagi penggunaan blog oleh pelbagai pihak yang menjadikannya sebagai medium untuk membincangkan sesuatu isu dan seterusnya memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pandangan masing-masing tentang isu perbincangan.

Pelbagai komen yang diberikan oleh pelbagai pihak yang seterusnya mencetuskan perdebatan berpotensi untuk mencari jalan penyelasaian bagi masalah sesuatu isu yang dibangkitkan.

Biasanya blog memaparkan isu-isu sensitif yang berkaitan dengan politik. Perbincangan tentang isu politik dan kes berprofil tinggi melalui blog ini membantu mendedahkan kebenaran sebenar tentang sesuatu isu dan juga keadaan politik sebenar di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa blog adalah dimiliki oleh mana-mana individu yang tidak terikat dengan mana-mana pihak dan berupaya untuk memberikan pendapat peribadi mengenai apa-apa isu.

Persoalannya, adakah kebebasan memiliki blog ini bakal memberikan kesan terhadap proses demokrasi negara?

Dapat kita semua lihat bagaimana tumpasnya kerajaan Barisan Nasional yang telah lama utuh dan bertapak di Malaysia ini dalam 5 buah negeri. Kekalahan itu ada antaranya berpunca daripada blog. Pihak kerajaan telah mengabaikan peranan internet yang telah digunakan oleh parti pembangkang secara meluas dan maksimum untuk menyebarkan propaganda dan anti kerajaan pusat iaitu barisan Nasional itu sendiri.

Walaupun blog dilihat membebaskan rakyat, persoalan lain yang dibangkitkan ialah mengapa kebanyakan blogger hanya memfokuskan isu politik semata-mata dan kurang menyentuh isu yang lebih penting? Antaranya isu perpaduan antara kaum dan masyarakat, pembangunan ke arah kelestarian masa hadapan serta masalah sosial. Mengapa isu-isu sebegini tidak pula diperbahaskan dan diperjelaskan di dalam blog? Isu-isu tersebut boleh mendatangkan manfaat yang lebih jitu kepada institusi masyarakat kini.

Blog juga mempunyai kelemahan kerana terlalu banyak pandangan dan maklumat yang disuarakan di dalam blog. Keadaan tersebut menimbulkan kekeliruan kepada pembaca. Hal ini bermaksud jika terlalu banyak fahaman atau ideologi yang dinyatakan oleh pelbagai pihak, kekeliruan akan berlaku.

Tidak dinafikan bahawa blog berfungsi untuk menggabungkan suara rakyat di mana-mana sahaja. Jadi, melalui blog rakyat mampu membentuk sifat demokrasi secara tidak langsung. Tapi pada masa yang sama pengguna haruslah menggunakan blog secara berhemah dan baik dan menyeimbangkan perbincangan antara isu politik dan isu lain yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat. Secara tak langsung ia akan menepati konsep demokrasi itu sendiri yakni rakyat yang menentukan proses politik sesuatu negara itu sendiri.

Blog juga mampu satu ruang atau arena kepada pembaca untuk menyuarakan pendapat umum mengenai sesuatu kes itu. Secara tidak langsung blog berfungsi untuk menggabungkan suara rakyat di mana-mana sahaja. Jadi, melalui blog rakyat mampu membentuk sifat demokrasi secara tidak langsung. Jika penggunaan blog dilaksanakan secara berhemah dan baik ia mampu untuk menjadi satu alternatif kepada pembangunan proses demokrasi dan politik yang seimbang. Secara tak langsung ia akan menepati konsep demokrasi itu sendiri yakni rakyat yang menentukan proses politik sesuatu negara itu sendiri.

Persoalan lain yang timbul adakah benar blog memberikan pengaruh yang besar kepada corak pemerintahan politik di sesebuah negara? Mengambil contoh blog Raja Petra Kamarudin, adakah beliau mampu untuk mengatasi segala pernyataan yang dikeluarkan melalui media? Atau adakah beliau akan tumpas dengan segala kecaman daripada semua pihak ke atasnya?

Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa dalam suatu jangka masa yang panjang, blog boleh memberikan pengaruh yang besar kepada corak pemerintahan politik di sesebuah negara kerana setiap pembaca yang mempunyai akal fikiran mampu untuk menerima dua paradigma yang berbeza dalam satu-satu masa. Jadi, mereka mampu untuk menentukan yang mana pilihan mereka yang tepat dan benar.

Tuntasnya, persoalan ini sebenarnya bagai mencurah air ke daun keladi kerana segala maklumat dan informasi yang disuarakan di dalam blog tidak pernah dipandang oleh pihak kerajan itu sendiri bahkan ia sentiasa diakhiri dengan penolakan. Hal ini kerana kerajaan sentiasa menganggap blog sebagai satu fitnah yag tidah boleh diguna pakai dalam masyarakat.


Posted by halcyon team at 9:24 AM